Pages

Tuesday, February 23, 2010

Anak-anak sekarang semakin melampau!

Sana sini kita mendengar kisah anak-anak yang mengabaikan ibu bapa. Sama ada mereka menjaganya dengan separuh hati atau tidak langsung mengambil berat keadaan tetap sama. Bukan setakat mengabaikan tanggungjawab sikap biadab juga makin ketara.

Mana tidak, bercakap dengan ibu bapa menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sedap di dengar. Namun kerana sayang dan takut kehilangan anak ibu bapa mengambil sikap berdiam diri.

Begitu mukadimah saya minggu ini, mengupas permasalahan yang dikirim oleh Kak Ani(bukan nama sebenar ) berusia awal 50-an.

Kak Ani ingin berkongsi kisah sedihnya yang menjadi mangsa anak yang hanya pentingkan wang ringgit dan isteri kesayangan tetapi mengabaikan dirinya.

Begini kisah Kak Ani.

"Saya mempunyai dua orang anak seorang lelaki berusia 28 tahun telah berkahwin dan seorang perempuan berumur 22 tahun.

"Kedua-duanya telah bekerja dan mempunyai jawatan tinggi di sebuah bank dan jabatan kerajaan. Alhamdulillah anak perempuan saya menjadi, sederhana orangnya dan amat menyayangi saya.

"Sedihnya abang pula yang buat hal..hidup mewah dan menjadi 'hamba' isteri.

"Anak lelaki saya sangat boros dan mengamalkan gaya hidup mewah dan terlalu mengikut kata isteri. Anak perempuan saya setiap bulan memberi saya sejumlah wang untuk disimpan sedangkan anak lelaki tidak pernah memberi wang belanja. Tapi saya faham dia ada keluarga.

"Separuh wang yang diberikan anak perempuan saya simpan untuk sakit demam atau masa susah. Ingat sebelum kena berjimat sebelum habis itulah amalan saya.

"Malangnya anak lelaki saya selalu meminjam wang daripada saya. Setiap bulan mesti dia akan datang meminjam. Mereka suami isteri bekerja. Anak baru seorang, masakan tidak cukup dengan gaji yang boleh dikatakan lumayan.

"Semasa susah saya menjadi tempat menyelesai masalah tapi apabila senang saya dilupakan. Datang menjenguk pun jarang walaupun jarak rumah tidak sampai 20 kilometer.

"Satu hari dia datang ke rumah untuk meminjam. Saya memberi pelbagai alasan tidak mahu bagi tetapi gagal apabila dia merayu-rayu di hadapan saya.

"Ya la hati seorang ibu, mana boleh tahan jika melihat anak bersedih kerana ada masalah kewangan. Mahu tidak mahu saya bagi juga. Anak perempuan saya marah-marah sebab saya selalu mengalah dengan pujuk rayu abangnya.

"Katanya saya tidak boleh berterusan begitu sebab lama-kelamaan abangnya tidak akan berubah, asyik datang meminjam sahaja. Saya faham niat dia baik tetapi dia tidak faham hati seorang ibu sebab dia belum berkahwin.

"Saya tidak ada pilihan lalu memberi anak lelaki saya pinjam wang tetapi dengan syarat dia mesti pulangkan dalam masa sebulan. Dia setuju. Sayangnya sudah enam bulan berlalu, belum nampak tanda dia akan membayarnya semula.

"Satu hari saya memanggilnya ke rumah. Apabila dia datang saya beritahu dia yang saya hendak guna duit yang dia pinjam untuk membayar cukai pintu dan cukai tanah.

"Dia marah-marah dan menengking saya. Katanya, kalau ibu tidak ada duit, ibu gadai sahaja barang-barang kemas yang banyak itu. Simpan pun bukan boleh di bawa mati.

"Bayangkan anak sulung yang saya tatang dan tolong setiap kali menghadapi masalah kewangan berkata demikian kepada saya. Sedih hati saya hanya Tuhan yang tahu, tetapi walaupun pahit kena telan juga.

"Dia mengungkit-ngungkit duit yang dia pernah bagi saya sebelum ini. Sedangkan saya sebagai ibu langsung tidak pernah mengungkit tentang penat dan letih menjaga dan membesar dia sehingga berjaya dan menjadi manusia.

"Itulah anak-anak sekarang. Saya amat sedih dengan perbuatannya itu. Sudahlah dia tidak mengambil berat dan menjaga saya dan asyik dengan isterinya yang cantik itu saja, kita pula disalahkan kerana tidak menolongnya.

"Nak tolong macam mana lagi? Semuanya saya sudah lakukan untuk dia. Sehinggakan anak perempuan saya merajuk dan menangis melihat abangnya berkelakuan begitu kepada saya.

"Apa hendak saya lakukan lagi? Saya tahu hidupnya jadi begitu kerana terlalu mengikut kehendak isterinya yang mata duitan dan mahu hidup mewah.

"Saya amat sedih dengan tingkah lakunya terhadap saya. Tapi saya tetap berdoa semoga satu hari nanti dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Biarlah apa pun yang dia hendak buat saya reda. Saya tahu ramai ibu bapa di luar sana yang menghadapi masalah seperti saya tetapi terpaksa kunci mulut kerana sayangkan anak.

"Duit ringgit boleh dicari tetapi anak..... Sesiapa pun yang mengalami keadaan seperti saya akan berkata demikian. Lainlah jika seorang ibu itu sudah tidak ada kasih dan sayang lagi kepada zuriat yang dikandugnya selama sembilan bulan sembilan hari itu.

"Buruk baik dia tetap anak, saya tidak akan berhenti berdoa dengan harapan satu hari nanti dia akan kembali menjadi anak yang baik dan soleh. Insya-Allah," Kak Ani menutup ceritanya.

Cerita Kak Ani menjadikan saya terkedu seketika. Mungkin ini hari kak Ani, hari kita belum tentu macam mana. Apa pun saya harap Kak Ani dapat terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini. Tidak ada seorang ibu juga yang mahu melihat anaknya menjadi anak yang tidak menghargai ibu bapa.

Namun kita perlu menerima hakikat, dalam setandan pisang tidak semua elok dan boleh dimakan, ada juga yang tidak elok. Itu semua kerja Allah.

Saya percaya doa seorang ibu sangat mujarab. Terus berdoa dan jangan putus asa. Buat anak-anak yang dilahirkan untuk melihat nikmat didunia ini, insaflah, hargailah ibu bapa dan laksanakan tanggungjawab anda kepada mereka selagi anda bernafas.

Dalam keghairahan mengejar kerjaya dan kemewahan jangan bahawa sesungguhnya terdapat seorang insan yang tidak dapat menandingi apa juga di alam maya ini, iaitu ibu bapa anda. Sesungguhnya syurga itu di bawah telapak kaki ibu!

Sumber : Utusan(Keluarga)


p/s: begitu murninya hati seorang ibu...ini jd peringatan buatku jua...kenangkan jasa ibubapa mu selalu....

0 celoteh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...