Wednesday, March 24, 2010

Israel Terus Angkuh !!

WASHINGTON 23 Mac - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam berkata, negara Yahudi itu tidak akan menyerahkan Baitulmaqdis kepada penduduk Palestin, sebaliknya akan menjadikan bandar suci itu sebagai ibu negaranya.

"Baitulmaqdis bukan kawasan penempatan (haram) Yahudi tetapi merupakan ibu negara Israel," kata beliau semasa berucap kepada pertubuhan pelobi pro-Israel, Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) di Washington, semalam.

Netanyahu dalam lawatan beliau ke sini tidak menunjukkan tanda mahu berkompromi dan merapatkan jurang perselisihan faham dengan Washington, menjelang pertemuan sukar dengan Presiden Barack Obama hari ini.

"Orang Yahudi membangunkan Baitulmaqdis 3,000 tahun lalu dan orang Yahudi membangunkan Baitulmaqdis hari ini. Baitulmaqdis bukan kawasan penempatan Yahudi tetapi ibu negara kami," ujar beliau lagi.

Perdana Menteri itu mendakwa beliau hanya meneruskan dasar-dasar semua kerajaan Yahudi sejak 1967, apabila Israel memenangi perang dengan jiran-jiran negara Arab lalu menawan timur Baitulmaqdis yang kemudian dijadikan sebagai sebahagian wilayahnya.

Kenyataan Netanyahu mendapat tepukan gemuruh daripada 7,500 anggota perwakilan pada persidangan tahunan AIPAC, tetapi dikecam oleh penunjuk perasaan yang turut hadir di Pusat Konvensyen Washington.

Pengumuman Israel pada 9 Mac lalu mengenai rancangan untuk membina 1,600 rumah baru di timur Baitulmaqdis yang majoriti penduduknya Arab mencetuskan kutukan AS.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton berkata, rancangan itu menjejaskan rundingan damai Israel-Palestin yang baru dipersetujui.

Palestin mengancam untuk menarik diri daripada rundingan tidak langsung yang diusahakan oleh Washington sejak berbulan-bulan lalu selepas Palestin menolak rundingan terus dengan Israel disebabkan kegiatan pembinaan penempatan Yahudi. - AFP


Sumber : Utusan online.


p/s: 'mereka' makin berani...

0 celoteh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...