Wednesday, May 22, 2013

Sedikit perihal Bertunang.

Terbaca dalam satu page di fb  : syahirul.com

Simple & mudah faham.

kongsi la sikit.Nak baca kat page dia terus pun tak pe.

Salah faham ketika bertunang

Dalam adat Melayu, apabila lelaki meminang perempuan yang sudah menjadi pilihannya, maka akan diadakan majlis pertunangan iaitu seperti kedua-dua belah pihak keluarga akan bertemu antara satu sama lain dan majlis pertukaran cincin sebagai tanda pertunangan. Ia tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia banyak membawa kepada pembaziran, walau bagaimanapun adat tersebut masih boleh dipakai, tetapi lebih afdhal jika kita meletakkan agama di atas berbanding adat.

Di dalam Islam tidak perlu begitu, cukup sahaja lelaki menyatakan hasrat kepada perempuan yang menjadi pilihannya iaitu ‘aku ingin mengahwini kamu’, dan perempuan tersebut sedia menerima pinangan si lelaki.

Peminangan boleh berlaku sama ada persetujuan daripada pihak perempuan dengan berhubung si perempuan secara langsung atau pun berhubung dengan keluarga perempuan melalui orang tengah. Sekiranya ingin berhubung dengan si perempuan secara terus, maka ia dibolehkan dengan syarat si perempuan tersebut bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri (18 tahun ke atas mengikut uruf umum sekarang).

Tetapi sekiranya si perempuan itu dungu atau masih belum habis sekolah lagi, maka dia hendaklah mendapat persetujuan daripada ibu bapanya terlebih dahulu. Takut-takut tersilap dalam membuat pemilihan.


Minta putus jika pasangan tunang tidak elok budi pekertinya.

Perkara ini sangat penting dalam fatrah pertunangan. Berapa ramai orang yang tahu mengenai budi pekerti tunangnya yang buruk, tetapi mereka membiarkan sahaja tanpa membuat apa-apa keputusan.

Sepatutnya mereka boleh minta putus agar tidak menyesal di kemudian hari. Contohnya seperti tunang yang panas baran yang tahunya hendak memukul, tunang yang selalu tinggal solat, tunang yang tidak mahu memahami agama walaupun sudah dinasihati berkali-kali, tunang yang suka dengan maksiat, mengajak kita keluar berdua-duaan serta mengambil kesempatan, dan banyak lagi. Maka di sini kita perlu ambil perhatian yang sangat serius.


Mencari tunang yang soleh/solehah sudah menjadi kemestian kepada pasangan calon yang ingin berkahwin, Kerana perkara ini akan membawa kesan yang sangat besar selepas bergelar isteri atau suami kelak seperti hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekira kamu tidak melakukannya, nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi” (Riwayat Tirmidzi)

“Dunia adalah bahan keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan yang solehah” (Riwayat Muslim)

Kebenaran hadis ini kita telah lihat keadaan dunia pada zaman kini, berapa ramai manusia yang memilih calon suami atau isteri berdasarkan nafsu dan tidak meletakkan agama serta akhlak sebagai yang utama. Maka kita sudah lihat kerosakan di sana-sini akibat dari kesilapan yang telah dilakukan. Keluarga yang di bina menjadi porak peranda.

Contohnya, tiada kebahagiaan dalam rumah tangga kerana hilang keberkatan, anak-anak yang bakal dilahirkan menjadi jahat, masing-masing suka bergaduh, keluarga yang suka kan maksiat dan pelbagai lagi masalah keluarga jika hendak disenaraikan akibat kita tidak menjaganya dari awal.

Maka di sini, Islam sangat menjaga kemaslahatan ummah iaitu dengan menjaga keharmonian rumah tangga semenjak dari pemilihan calon dari awal. Kita sudah sedia maklum bahawa tujuan perkahwinan adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia. Setiap manusia inginkan kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga seperti firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan di antara-antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, kasih sayang dan belas kasihan”. Arrum ayat 21.

Lagi firman Allah swt yang bermaksud:

“Mereka (isteri-isteri kamu) adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka”. Al-Baqarah ayat 117.

Ayat di atas mengibaratkan suami isteri sebagai pakaian bagi pasangannya, kerana masing-masing saling melindungi pasangannya. Sekiranya kita memilih pasangan yang buruk akhlaknya, sudah pasti dia bukan pelindung yang baik, malah menjadikan kita sebagai mangsa kezalimannya.
 



p/s: saje je post menda gini kebetulan dah musim kawan2 kawin sekarang ni...haha...jgn pelik lak.




0 celoteh:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...