Salam...
hari ni nak berkongsi pengalaman sikit..
maghrib tadi aku & kawan2 solat berjemaah dimasjid...
kebetulan tengah2 solat maghrib,hujan lebat...
sampai la abis solat, so disebabkan hujan,ramai yang tak boleh balik rumah...
dengan tak semena2 aku dengar pak arab iqamah...so aku n kwn2 tertanya2 la...kenapa nak solat jemaah 2 kali...pastu ada la pak arab cakap,kalu tgh maghrib berjemaah,dan tetbe hujan,boleh solat isyak terus...untuk mengelakkan kesulitan...aku tertanya-tanya ada nama specific ke solat ni??
setelah buat sedikit pembacaan,baru clear....rupa2nya ianya adalah solat jamak...solat jamak tak terhad kpd utk musafir je..ada lagi manfaat/kemudahan yg boleh diaplikasi...utk tahu lebih lanjut..boleh baca buku nukilan Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
***************************************
Tidak ada yang mempertikaikan tentang bolehnya menjamak sembahyang ketika berada dalam perjalanan. Terdapat hadis-hadis yang banyak menunjukkan bahawaRasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memang pernah menjamak sembahyang ketika bermusafir.
Bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu perang Tabuk, selalu menjamak sembahyang Zuhur dengan Asar (jamak taqdim-pen) bila berangkat sesudah tergelincir matahari (setelah masuk waktu Zuhur), tetapi apabila berangkatnya sebelum matahari tergelincir (sebelum waktu Zuhur) maka sembahyang Zuhur diundurkan baginda, dan dihimpunnya sekali dengan Asar (jamak ta’khir-pen). Begitu pula dalam sembahyang Maghrib, iaitu sekiranya baginda berangkat sesudah matahari terbenam (telah masuk waktu Maghrib), dijamaknya Maghrib dengan Isyak (jamak taqdim-pen), tetapi kalau berangkatnya itu sebelum matahari terbenam, diundurkannyalah Maghrib itu sampai waktu Isyak dan dijamaknya dengan sembahyang Isyak (jamak ta’khir).[1]
Kebanyakan umat Islam di Malaysia berpendapat bahawa menjamak sembahyang hanya dibenarkan kepada mereka yang bermusafir sahaja. Sebenarnya berada dalan keadaan musafir hanyalah salah satu dari faktor yang membenarkan sembahyang dijamakkan. Faktor sebenar yang menentukan samada sembahyang boleh dijamakkan atau tidak adalah kesulitan yang dialami oleh seseorang untuk menjalankan ibadah sembahyangnya walaupun dia bukan seorang musafir. Tentang hubungan antara menjamakkan sembahyang dan musafir, Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah menulis:
Jamak itu tidak berkait dengan qasar tetapi terkait dengan keperluan. Apabila sahaja seseorang itu perlu untuk menjamak sembahyangnya baik ketika dia bermukim mahupun ketika dalam perjalanan maka dia boleh menjamak sembahyangnya. Oleh kerana itu manusia melakukan jamak ketika hujan yang menyulitkan mereka untuk kembali ke masjid. Juga dibolehkan menjamak sembahyang bila terjadi angin kencang di musim dingin yang menyukarkan mereka keluar menuju masjid. Juga dibenarkan menjamak sembahyang jika dia takut keselamatan hartanya atau yang semisalnya.[2]
Inilah rukhshah (kelonggaran) sebenarnya yang Allah 'Azza wa Jalla kurniakan kepada hamba-Nya sesuai dengan sifatnya yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Maka sewajarnya kita bersyukur atas kurniaan-Nya itu dengan menggunakanrukhshahtersebut dan tidak mencipta batasan-batasan tertentu yang tidak disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam. Apatah lagiRasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan sembahyang bukan kerana musafir atau hujan hanya bertujuan untuk memudahkan umatnya. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbasradhiallahu 'anhu, dia berkata:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang di Madinah (bukan dalam musafir) sebanyak tujuh dan lapan rakaat iaitu dengan menjamak Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.[3]
Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu menerangkan:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamak sembahyang Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”[4] [5]
Kedua-dua hadis di atas sudah memadai untuk membatalkan pendapat mereka yang hanya menghadkan sembahyang hanya boleh dijamakkan ketika dalam perjalanan kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamak sembahyangnya ketika baginda berada di Madinah iaitu dalam keadaan bermukim. Malah hadis dari Ibnu ‘Abbasradhiallahu 'anhu ini dijadikan hujjah oleh ulama’ untuk membolehkan sembahyang itu dijamak asalkan terdapat keperluan yang mendesak dan valid demi untuk menghindari kesulitan yang dihadapi itu. Malah kata-kata Ibnu ‘Abbas “bukan kerana dalam ketakutan atau hujan” secara tidak langsung menunjukkan bolehnya menjamak sembahyang jika kita berada dalam kedua-dua situasi tersebut.
Berkata Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah setelah membawa hadis Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu tersebut:
Inilah rambu-rambunya, setiap kali seseorang merasa kesulitan sekiranya tidak melakukan jamak maka dia boleh melakukannya. Namun jika dia tidak mengahadapi kesulitan maka tidak perlu menjamak. Namun safar adalah tempat kesulitan jika tidak melakukan jamak. Untuk itu dibolehkan musafir untuk menjamak sembahyang baik ketika dalam perjalanan atau ketika singgah di suatu tempat, hanya sahaja jika dia sedang dalam perjalanan maka menjamaknya lebih utama sedangkan ketika singgah meninggalkan jamak lebih utama.[6]
Syaikh Abu Ubaidah Masyhur pula berkata selain dari dalam ketakutan ataupun hujan yang lebat:
Diperbolehkan menjamak sembahyang ketika tanah dalam keadaan berlumpur, udara yang dingin, turun salju, sakit, angin kencang bahkan kerana adanya uzur atau kepentingan lain…Ibnu Taymiyyah berkata: “Mazhab Fiqh yang paling longgar dalam masalah menjamak sembahyang adalah mazhab al-Imam Ahmad. Sebab beliau telah membolehkan menjamak antara dua sembahyang hanya disebabkan adanya keperluan ataupun ketika sedang sibuk.”[7]
Selanjutnya Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:
Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila ia ada suatu kepentingan, asal sahaja hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, dan menurut al-Khaththabi juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta inilah pula yang dipilih oleh Ibnul Mundzir.[8]
Telah jelas bagi kita bahawa sembahyang jamak bukan hanya disyari’atkan ketika dalam musafir. Sekiranya memang ada keperluan yang begitu mendesak maka dibenarkan untuk menjamakkan sembahyang. Hanya apa yang ingin penulis tekankan jangan kita terlalu bermudah-mudah dalam isu sembahyang jamak ini sehingga menjadi kebiasaan untuk manjamakkan sembahyang tanpa sebab atau kesulitan yang dihadapi seperti diamalkan golongan syi’ah. Ini adalah kerana hukum asal sembahyang itu adalah mengikut waktu yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya:
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.[9]
Menurut Syaikh Abu Ubaidah kaedah umum yang disepakati oleh Ahlus Sunnah WalJama’ah adalah:
Hendaklah setiap sembahyang itu dikerjakan pada waktunya yang telah ditetapkan dan telah dinaskan dalam hadis-hadis Nabi, tanpa mengawalkan atau mengakhirkannya, kecuali jika ada beberapa sebab yang telah disebutkan dalam beberapa kitab fiqh dan sebab itu diperkuatkan oleh dalil syari’at yang diakui (keshahihannya).[10]
[1] Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1208.
[2] Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa : Bab Ibadah, ms. 413.
[3] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Mawaqif al-Shalah, hadis no. 543.
[4] Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1211.
[5] Ada pihak yang menggunakan hadis ini untuk membolehkan menjamak sembahyang secara sesuka hati tanpa ada kesulitan. Syaikh al-Albanirahimahullahmenjelaskan:
Hadis ini tidaklah seperti apa yang disangka oleh banyak para penuntut ilmu bahawa sembahyang (jamak) itu boleh dilakukan bila-bila sahaja tanpa pertimbangan dan tanpa alasanpun… Tetapi jika ada sesuatu yang memberatkan untuk dilaksanakan sembahyang pada waktunya maka ketika itu boleh baginya menjamak sembahyang demi menghilangkan kesulitan tersebut ; baik berupa jamak taqdim ataupun ta’khir. Sesungguhnya alasansyar’i dari sembahyang jamak ini adalah untuk menghilangkan kesulitan dari kaum Muslimin. Maka jika tidak ada kesulitan tidak boleh jamak, dan wajib bagi kita memahami hadis di atas secara sempurna. Dan kesempurnaan hadis tersebut adalah sebagai berikut: Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkanumatnya.” Dengan adanya sembahyang jamak yang dilakukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan mukim dan tanpa uzur turunnya hujan bukan bererti semua orang boleh menjamak sembahyang tanpa adanya kesulitan. [Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatwa-Fatwa Albani, (Edisi terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta 2002), ms. 88-89.]
[6] Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa : Bab Ibadah, ms. 413-414.
[7] Syaikh Abu Ubaidah Masyhur, Total Koreksi Ritual Shalat, ms. 411.
[8] Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld. 2, ms. 227.
[9] al-Nisaa’ (4) : 103
[10] Syaikh Abu Ubaidah Masyhur, Total Koreksi Ritual Shalat, ms. 399.
0 celoteh:
Post a Comment